Di Sheffield ini, kebanyakan umat Melayu (pelajar PhD dan Undergraduate khasnya) akan berkerja ‘part time’ untuk menampung hidup mereka memandangkan duit biasiswa yang dibekalkan oleh kerajaan Malaya memang tak pernah-pernah cukup. Di samping bekerja untuk menampung hidup, ada juga yang bekerja untuk menampung perabot, kereta mewah dan perlancongan ke Eropah.
Kerja yang dilakukan ada bermacam-macam. Semuanya profesional. Yang paling popular adalah jawatan Jurutera Lantai. Lain-lain pekerjaan yang dilaksanakan adalah jurutera Pengasingan Surat, Jurutera Mengisi Data, Jurutera Scanning Barcode, Jurutera Hyperruncit serta jurutera betul (kerana ada segelintir yang betul-betul dapat kerja jadi jurutera).
Sekiranya ada keluarga yang mempunyai anak kecil, maka adalah sangat susah untuk pergi bekerja kerana anak kecil memerlukan perhatian kerana tidak dapat dihantar ke Nusery bukan kerana tidak cukup syarat, tetapi kerana tidak cukup wang. Bayaran upah nursery adalah bapak mahal ! Oleh itu tinggal lah bapak-bapak yang tidak belajar menjaga anak di rumah dan hanya pergi bekerja sebagai jurutera di waktu pagi buta atau apabila larut malam setelah isteri balik dari belajar PhD nya.
Oleh yang demikian aku sangat bersyukur kerana ada orang sanggup menjaga anak-anak aku semasa aku bekerja sebagai jurutera dari pukul 4 petang hingga 6 petang. Hanya Tuhan sahaja dapat membalas budi mereka.
Dulu aku juga ada sukarela menjaga anak seorang kawan kerana dia dan isterinya dua-dua orang belajar PhD. Mereka tiada tempat hendak menghantar anak dan amatlah terdesak. Kebanyakkan orang Melayu di sini tidak mahu menjaga anak orang lain kerana upah menjaga anak orang lain tidak seberapa jika dibandingkan dengan upah bekerja menjadi jurutera lantai. Kerana kasihan aku pun sukarela menjaga budak tersebut.

Selama hampir setahun lebih juga aku menjaga budak itu. Ketika itu dia berumur lebih kurang 2 tahun. Orangnya sangat sopan santun dan tertib. Baik sungguh. Dia panggil aku ayah… Sekarang aku tak jaga dah dia sebab dia dah masuk sekolah. Umur dah cukup 3 tahun. Ibu dah ayahnya sekarang dah stabil, oleh itu mereka bergilir-gilir ke universiti dan menjaga anak di rumah.
Sebagai mana anak-anak kecil yang perlukan perhatian, begitu juga keluarga-keluarga baru yang datang ke Sheffield ini. Mereka juga perlukan perhatian. Aku masih ingat memula sekali datang ke bumi beku ini, semuanya beku dan mengelirukan. Mujur ada kawan-kawan yang sudi membantu dan memberi moral support yang sangat-sangat diperlukan.
Bila sudah pandai dan lama duduk di sini, maka giliran kita pula membantu keluarga-keluarga yang baru datang dan begitulah putarannya. Ada juga kira-kira dua tiga buah keluarga yang mana kami sekeluarga yang menjadi mentornya. Mereka ini ada juga yang menjadi sahabat baik kami sampai ke hari ini…
Sebagaimana budak yang pernah aku jaga itu, begitulah juga keluarga-keluarga baru itu. Serupa.. Kini mereka ibarat anak burung yang sudah pandai terbang mencari makan sendiri, sudah pandai berdikari dan membina sarang sendiri. Sudah stabil, malah ada yang sudah bekerja serta bergaji besar. He..he.. Aku tumpang bahagia. Bagus, syabas dan sayonara…
Sekian terima kasih.



